Tuesday, May 09, 2006

MEMBENTUK MAHASISWA ISLAM BERFIKIRAN KRITIS

OLEH : MOHD KAMARUL IRWAN ABDUL RAHIM
BERITA HARIAN (8/12/04)


Mahasiswa merupakan satu kumpulan pelajar yang berada di peringkat tertinggi di dalam sistem pendidikan formal negara. Oleh itu, tanggungjawab yang perlu dipikul oleh mahasiswa adalah merupakan amanah yang tidak boleh dipandang mudah dan peranannya begitu penting dalam mendepani masa depan sesebuah negara. Di Malaysia, mahasiswa Islam telah memainkan peranan mereka yang tersendiri di dalam mencorakkan kehidupan masyarakat seawal kewujudan universiti pertama di Malaysia. Gerakan Mahasiswa Islam pada setiap ketika adalah dinamik mengikut suasana persekitaran dan penyesuaian yang hendak dilakukan mestilah sesuai dengan perubahan zaman. Namun, apabila modenisasi semakin rancak berkembang di dalam negara kita, maka ia sudah tentu melahirkan pelbagai cabaran yang perlu dihadapi dan diselesaikan dengan sebaik mungkin oleh mahasiswa Islam.

Sebelum penulis membincangkan beberapa cabaran modenisasi dan saranan dalam mendepaninya, kita terlebih dahulu perlu mengetahui matlamat utama mahasiswa Islam. Hasil daripada beberapa pembacaan, penulis dapat merumuskan bahawa matlamat utama mahasiswa Islam adalah menjadi hamba Allah dan khalifahNya di atas muka bumi ini dan bertanggungjawab membina diri dari segi intelektual, spiritual dan jasmani. Selain itu juga, mahasiswa Islam perlu menjadi penyeru kepada kebaikan dan mencegah kepada kemungkaran dan seterusnya menjadi pencetus, penggerak dan pembina tamadun Islam. Matlamat ini perlu dihayati bersama-sama kerana tanpanya mahasiswa Islam akan kekaburan haluan dan mudah mengalah dalam memenuhi gerakannya.

Seterusnya, beberapa cabaran yang penulis ingin tekankan dan perlu diberi perhatian oleh gerakan mahasiswa Islam ialah cabaran modenisasi sekularisme yang telah mewujudkan kelompok manusia yang mengkesampingkan agama dan menganggap agama sebagai halangan ke arah mencapai kemodenan dan kemajuan madani. Mereka menganggap kehidupan di dunia ini tiada kaitannya dengan Tuhan dan Tuhan tidak boleh dibabitkan dalam kehidupan manusia sama ada dalam mengatur negara, kepimpinan politik, pengagihan kekayaan, perlaksanaan undang-undang, perlaksanaan ekonomi dan sosial yang menurut ajaran Islam. Bentuk sekularisme yang pelbagai ragam ini adalah cabaran dalam era modenisasi dan perlu ditentang secara menyeluruh.

Keduanya ialah cabaran akhlak dan moral yang semakin rosak dalam masyarakat Malaysia khususnya kepada golongan remaja ataupun mahasiswa. Oleh itu, ia perlu diambil perhatian yang serius oleh mahasiswa Islam dengan bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam usaha untuk mencari jalan penyelesaian yang terbaik dalam menangani fenomena yang mencengkam jiwa remaja masa kini. Krisis akhlak dan moral ini jika tidak dibendung dengan segera akan memberi impak yang negatif dalam sesebuah masyarakat dan peradaban ummah.

Seterusnya ialah cabaran ekonomi yang menunjukkan bahawa 70% ekuiti ekonomi negara dipegang oleh golongan bukan Islam dan kebanyakan teknokrat dan professional adalah terdiri daripada golongan bukan Islam. Fenomena ini perlu disedari oleh mahasiswa Islam dan perlu melakukan perubahan dalam diri untuk meningkatkan keupayaan dalam ekonomi dan bersedia untuk bersaing dengan golongan bukan Islam. Ini merupakan beberapa perkara penting yang sempat penulis senaraikan bagi renungan bersama dan perlu diambil perhatian serius oleh mahasiswa Islam dalam melakukan perubahan dalam gerakan mahasiswa Islam.

Justeru ,bagi memantapkan gerakan mahasiswa Islam masa kini, satu perkara asas yang perlu diberi perhatian ialah pentafsiran semula istilah ‘mahasiswa’. Jika kita lihat dalam konteks masa kini, mahasiswa lebih cenderung merujuk kepada kumpulan ijazah pertama di universiti iaitu tidak termasuk pelajar-pelajar pra-ijazah dan pelajar-pelajar lepasan ijazah. Selain itu, generasi mahasiswa Islam hari ini mestilah mewujudkan hubungan yang baik dengan ahli-ahli akademik sebagai penjana ilmu di samping menjadi benteng yang dapat mempertahankan mahasiswa dalam keadaan terdesak.

Satu kekosongan yang amat ketara dalam gerakan mahasiswa Islam hari ini ialah kerendahan tahap penguasaan ilmu untuk diaplikasikan di luar dewan kuliah. Masalah ini mempunyai kaitan dengan kelunturan budaya berfikir secara kritis di kalangan mahasiswa Islam serta kepekaan yang begitu rendah terhadap isu-isu semasa yang berlaku di dalam negara kita dan di peringkat antarabangsa. Oleh itu, program-program ke arah membina budaya berfikiran kritis dan meningkatkan kepekaan mahasiswa perlu diberi keutamaan seperti mengadakan sudut pidato, kongres mahasiswa, forum, simposium dan kolokium berbanding dengan program-program yang menjurus kepada hiburan dan kerehatan minda.

Tahap penguasaan ilmu yang rendah ini menyebabkan mahasiswa Islam sering ketinggalan berbanding dengan kumpulan ahli-ahli politik dan NGO dalam melihat perubahan sosial, ekonomi dan politik yang berlaku dalam masyarakat dan negara. Seringkali juga pimpinan mahasiswa Islam ketandusan idea dalam memberikan pandangan sebaliknya meminjam idea-idea dari kumpulan yang disebutkan di atas. Fenomena seumpama ini akan melunturkan ketulenan idealisme perjuangan mahasiswa. Mahasiswa sebegini akan menjadi tidak proaktif sebaliknya reaktif terhadap perubahan yang berlaku dalam masyarakat dan negara.

Kegagalan generasi mahasiswa Islam kini mengorganisasikan front mahasiswa di peringkat nasional adalah merupakan salah satu faktor penting yang melemahkan perjuangan mahasiswa Islam. Oleh itu, mahasiswa perlu membentuk kesatuan di peringkat nasional dengan pengurusan organisasi yang lebih teratur. Contohnya ialah dengan menjalinkan hubungan yang rapat dengan organisasi mahasiswa Islam di setiap universiti seperti mana yang dilakukan oleh Majlis Perwakilan Mahasiswa yang mempunyai rangkaiannya yang tersendiri di setiap universiti. Namun fokus utama yang harus diberi perhatian oleh mahasiswa Islam ialah kesatuan organisasi mahasiswa Islam di setiap universiti yang wujud dalam negara kita. Ini adalah penting bagi menyatukan kesatuan mahasiswa Islam di bawah satu gagasan dengan berasaskan kepada matlamat perjuangan yang sama.

Generasi mahasiswa Islam hari ini juga mestilah mewujudkan satu siri program yang tersusun merangkumi perancangan jangka pendek dan jangka panjang ke arah melahirkan pimpinan mahasiswa yang berkredibiliti. Oleh itu, perancangan ke arah memupuk watak kepimpinan di kalangan mahasiswa pra-ijazah serta pelajar-pelajar sekolah menengah mestilah digiatkan supaya mereka yang bakal melangkah ke universiti adalah yang benar-benar memahami idealisme perjuangan gerakan mahasiswa Islam.

Sebagai kesimpulan, perlu ditegaskan bahawa idealisme perjuangan mahasiswa Islam perlulah dihayati sepenuhnya oleh mahasiswa dan seterusnya merealisasikannya oleh pucuk pimpinan mahasiswa dengan penuh berhikmah. Dengan persiapan yang dilakukan, mahasiswa Islam perlu memainkan peranan yang baik secara fardhi (individu) atau jama’ei(kumpulan) bagi melakukan islah terhadap kampus dan lapangan masyarakat.

Thursday, May 04, 2006

DEBAT: SILA HANTAR SURAT SEGERA...

OLEH: Tuan Guru Nik Abdul Aziz
PERTAMANYA,
saya wajar mengucapkan terima kasih di atas pelawaan Menteri Penerangan menjemput saya ke Debat Perdana. Beliau menjemput saya kerana Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Kelantan telah terlebih dahulu menyatakan kesediaan untuk berdepan dengan saya. Itu pun di atas tajuk RMK9. Ertinya, jika dalam 'survey' awal itu, katakan Annuar Musa enggan, tentu Dato’ Zainudin tidak akan menghulur turun tangga jemputan agar saya naik ke Angkasapuri untuk bersama menyelami rahsia RMK9.

Persoalan kedua, apa sangatlah yang rahsianya mengenai RMK9. Ia adalah penerusan RMK8, RMK7 dan RMK6. Ia cerita memperuntukkan sejumlah wang lima tahun sebuah Rancangan Pembangunan Malaysia. Ini soal rutin. Pergilah ke mana-mana negara sekalipun. Ia normal. Sejak saya menjejakkan kaki saya di parlimen di tahun 1967, saya sudah tahu apa itu Rancangan Lima Tahun . Ketika itu, saya tak tahulah orang yang nak di suakan kepada saya itu sedang berada di mana.

Ketiga, mana ada rancangan pembangunan lima tahun mana-mana negara yang tidak ada pernyataan visi, misi, angka-angka peruntukan dan pasukan pelaksana dalam satu rangka peralihan paradigma berikutan dengan berlakunya perubahan masa, waqi’ dan suasana? Paradigma itu pula akan menetap dan mendefinisi sempadan dan menentukan bagaimana jentera kerajaan serta rakyat harus bertindak untuk berjaya (how to behave inside the prescribed boundaries) dalam sebuah rancangan Lima Tahun itu. Itu saja. Selebihnya ialah soal pemantauan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan.

Di tengah-tengah tempoh pelaksanaan itulah pula ghalibnya, rakyat akan di sumbat dengan leteran-leteran pemimpin yang bercakap besar. Kemudian, di hujung pelaksanaan Rancangan-Rancangan Malaysia itu pulalah, kita lazimnya akan dikejutkanlah dengan angka-angka kegagalan. Pemimpin Umno pun mulalah buat-buat menunjukkan muka prihatinnya yang kononnya sangat terkejut, berkedut dan berkerut. Lalu, dibuatlah pula kajian separuh penggal untuk nantinya dijadikan ulam rangup dalam Perhimpunan Agung Umno.

Buat-buat bising sikit. Tunjuk-tunjuk keris sikit. Laung kuat-kuat sikit, sumpah keramat “takkan Melayu hilang di dunia”. Minum-minum. Ketawa-ketawa. Berdamai semula Pemuda, Puteri dan Wanita. Bersalaman. Kemudian, balik lipat-lipat selendang dan ulang kerja yang sama. “Tender ini, kita nak bagi pada sapa. Dia orang kita atau bukan orang kita”. Umnoputra lagilah. Di tahun 2020 nanti, kita akan masih di sini lagilah!

Pada saya, berdebat atas perkara cabang tidak akan membawa kita ke mana-mana. Pada saya, RMK9 adalah perkara cabang. Ia ranting dan bukan pokok kepada ranting. Lihat saja kandungan persoalan yang di bawa oleh Nabi Ibrahim 'alaihissalam misalnya. Pertanyaan Ibrahim berbunyi, “apa yang tuan-tuan sembah?” Ibrahim tidak menyertai Namrud, bahkan tidak dijemput pun dalam debat tentang bagaimana nak membangun dan berebut-rebut harta karun ketika berjuang?

Pada saya, masalah Malaysia ialah masalah yang lebih besar. Ia adalah masalah akidah dan keimanan yang lebih tunjang. Malaysia beriman dengan apa dan bertuhankan siapa? Ini perkara pokok yang tiada kompromi. Ia perlu dimuzakarahkan dan diceramahkan segera.

Kelirukan persoalan pokok inilah yang membawa Malaysia meraih malapetaka demi malapetaka di sepanjang Rancangan Rancangan Lima Tahunnya.Sudah hampir 45 tahun begitu dan malangnya kita sekali lagi digesa untuk menyertai debat di atas tajuk yang sama. Kesan akhirnya, kita boleh lihat. Itu-itulah juga. SERUPA. Bahkan semakin menjunam.

Jika ikut bahasa orang korporat ia di sebut, “the bottom line is still the same.” SAMA. Malaysia yang serba ketinggalan. DEB yang kegagalan. Ekuiti Melayu yang sangat mendukacitakan. Pengangguran melibatkan puluhan ribu graduan. Wang PPRT yang lesap dibaham. Minyak naik pagi dan petang. Inflasi merata di pekan dan bendang. Ada sejuta penagih dadah yang majoritinya anak Melayu dari kumpulan marhean dan elit bangsawan.

Demikian juga dengan seriusnya pengidap AIDS sehingga terpaksa diedar percuma kondom dan jarum. Sumbang mahram. Dakwaan usus babi di dalam sosej. Fenomena zina yang kronik dan gaya hidup gay yang berkembang. Gejala murtad yang mengorbankan hampir 250 ribu anak-anak orang Islam. Buang anak di merata-rata. Negara di isytiharkan Islam tetapi pelaksanaan hukum hudud ditolak. Bahkan, disaman oleh siapa lagi jika tidak oleh pemimpin Umno yang sangat kemelayuan. Dedah. Rasuah dan belasah. Senarai kegagalan negara di bawah teraju Umno tidaklah terbilang !

Pendek kata begini sajalah. Saya akan sanggup berceramah secara bersama di pentas yang sama dengan Presiden Umno, Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi atau Zainudin Maidin atau Annuar Musa atau sesiapa saja; baik di rumah mereka atau di rumah saya atau di rumah orang. Jika perlu di padang sekalipun, maka sila tetapkan di mana-mana padang. Saya sangat bersetuju jika ia di siarkan “live” oleh RTM. Jangan ada potong-memotong. Kita berkeris secara gentlemen.

Saya tidak boleh bersetuju dengan debat yang ada pengerusi. Lebih-lebih lagilah jenis pengerusi yang sama-sama dapat kita saksikan sekarang dalam Rancangan-Rancangan Debat Perdana. Tuan-tuan lebih arif maksud saya ini.

Saya dengan ini telah menyatakan kesediaan saya untuk berceramah di atas tajuk “Dasar dan Akidah Sesebuah Negara”. Sekarang, saya telah nyatakan hujah dan rasional saya. Sekarang, bola sudah kembali ke kaki Sdr Zainudin. Saya sedang berdiri di atas padang mulai sekarang. Sila hantarkan surat jemputan.

Wednesday, May 03, 2006

SALAM PERJUANGAN...

Assalamualaikum dan salam perjuangan.Bersama-sama kita meneruskan kesinambungan perjuangan dalam menegakkan agama ALLAH di muka bumi. sekian..
Selamat berjuang..
-ijtihad ummah-